
KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat.
Katanya, ia susulan pendedahan Istana Negara berhubung keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan Ordinan Darurat yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Saya mewakili ahli-ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul seperti berikut: Bahawa Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dimakzulkan daripada Perdana Menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar sebentar tadi.
Beliau berkata, usul tersebut dikemukakan menerusi surat yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada hari sama
.
Terdahulu Istana Negara dalam satu kenyataan memaklukan,kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat pada 26 Julai lalu kerana ia belum diperkenankan baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.-MT