
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta kerajaan menjelaskan status kompaun yang dikeluarkan selepas 21 Julai.
Guan Eng berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan lanjut kerana semua ordinan darurat telah ditarik balik pada tarik berkenaan.
“Adakah semua denda-denda selepas 21 Julai, segalan hukuman dijalankan selepas tarikh tersebut terbatal dengan sendirinya?
“Kerana setahu saya, masih dilaksanakan (denda dan hukuman) keatas mereka yang pihak berkuasa, sekarang tiada sebarang penjelanan. Ini penting.
“Sepatutnya perkara ini perlu dijelaskan oleh Perdana Menteri, beliau yang dapat perkenan dari Istana untuk laksanakan darurat,” katanya ketika mencelah dalam sesi khas Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Takiyuddin berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
Kata Takiyuddin lagi, kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu.
“Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pembangakang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempersoalkan pengumuman Takiyuddin itu dan bertanya sama ada telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atau tidak.