Arab Saudi lulus campuran vaksin Covid-19

0
36
Arab Saudi kini menghampiri vaksinasi 10 peratus penduduknya.

RIYADH – Percanggahan pendapat mengenai keberkesanan campuran vaksin Covid-19 berterusan apabila Kementerian Kesihatan Arab Saudi hari ini memberi jaminan kaedah tersebut selamat untuk digunakan di negara itu.

Dakwaan itu dibuat sehari selepas Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Soumya Swaminathan, menyifatkan campuran vaksin dari jenis berbeza itu sebagai satu trend yang berbahaya.

Jurucakap rasmi Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Dr Mohamed al-Abdali berkata, kaedah itu selamat dengan syarat kedua-dua vaksin yang digunakan telah diluluskan oleh kerajaan.

“Tafsiran yang salah disebarkan di media tentang apa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia mengenai pencampuran vaksin.

“Kami mengesahkan keselamatan mencampurkan vaksin yang dipersetujui di Arab Saudi, berdasarkan (input dari) penyelidikan antarabangsa dan jawatankuasa ilmiah khusus, kerana prosedur ini disahkan oleh WHO dan sejumlah negara dunia,” katanya.

Dr Mohamed berkata, kerajaan Arab Saudi telah meluluskan penggunaan vaksin dari jenis Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna.

Setakat ini, lebih daripada 20 juta dos vaksin telah diberikan di negara itu, yang bermaksud sekurang-kurangnya 58 peratus penduduk negara itu telah diinokulasi dengan satu dos.

Dianggarkan sekitar 183,807 dos diberikan setiap hari di Arab Saudi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here