
RIO DI JANEIRO – Jaringan tunggal daripada pemain tengah Argentina, Angel Di Maria pada babak pertama berjaya menamatkan kemarau hampir tiga dekad pasukan tersebut dalam kejohanan Copa America.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Maracana, Brazil sebentar tadi
itu Argentina berjaya menewaskan musuh tradisi mereka 1-0.
Kali terakhir skuad La Albiceleste itu memenangi gelaran Copa America pada tahun 1993.
Jaringan menarik yang dihasilkan Di Maria muncul pada minit ke-22 apabila beliau menerima umpanan cantik daripada Rodrigo De Paul selepas pemain pertahanan, Renan Lodi gagal memintas umpanan itu.
Di Maria yang melakukan larian pantas ke dalam kawasan penalti, kemudiannya melakukan sepakan lambung yang berjaya menewaskan Ederson Moraes di gawang Brazil.
Tersentak dengan jaringan itu, jentera serangan Brazil yang diketuai oleh Neymar melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gawang Argentina namun, ketangkasan penjaga gol, Martinez berjaya menafikan percubaan berbahaya itu.
Selepas perlawanan ditamatkan pemain sensasi, Lionel Messi ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas gagal menjulang sebarang trofi utama bersama pasukan kebangsaan.-MT