Asrama doktor pelatih HTAR ditukar jadi wad Covid-19

0
28
Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang

KLANG – Pengurusan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang memindahkan penginapan doktor pelatih hospital itu ke Asrama Pelajar Perubatan Universiti Malaya (UM) bagi menukar fasiliti berkenaan sebagai wad Covid-19 berisiko rendah.

Menurut kenyataan HTAR Klang, keputusan itu dibuat semasa lawatan Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi bersama Unit Pembangunan, Jabatan Perubatan, Unit Pentadbiran dan Unit Fasiliti Hospital ke Asrama Doktor Pelatih Blok A pada 5 Julai lalu.

Menurut kenyataan itu, Dr. Zulkarnain telah memutuskan untuk menukar fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih hospjtal itu sebagai Wad Covid-19 kategori satu dan dua.

“Sehubungan itu, penghuni Blok A Asrama Doktor Pelatih yang menempatkan 10 doktor pelatih wanita dan blok B menempatkan dua doktor pelatih lelaki akan dipindahkan ke Asrama Pelajar Perubatan UM selepas kerja-kerja penyelenggaraan dibuat di Blok B dan E Asrama Pelajar Perubatan UM,” kata kenyataan dikeluarkan hari ini itu.

Dalam kenyataan itu, pihak pengurusan memberi tempoh empat hari untuk penghuni kediaman berkenaan berpindah ke Asrama Pelajar Perubatan UM.

“Selepas semua pemindahan doktor pelatih ke Asrama Pelajar Perubatan UM selesai dilakukan pada Isnin lalu, fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih telah ditukarkan kepada Wad Covid-19 berisiko rendah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dikenal pasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 pada 8 Julai lalu.

“Manakala, pada 9 Julai, Kompleks Rawatan Harian (ACC) telah dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad merawat pesakit Covid-19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam ruang yang selesa.

“Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 ke wad Covid-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad, dan ianya bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma,”katanya.

Menurut beliau, trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 sehingga 180 pesakit.

“Justeru, kenyataan yang telah tular mendakwa Jabatan Kecemasan dan Trauma telah “dikosongkan” kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit.

“Manakala, pesakit yang masih belum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma setakat semalam adalah seramai 177 orang,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here