
CYBERJAYA – Umat Melayu dan Islam di negara ini diajak untuk mengamalkan strategi 3S iaitu ‘Saving, Spending, Sadaqah’ sebagai satu tindakan bijak dalam mengharungi keadaan sukar sekarang.
Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, dengan mengamalkan strategi berkenaan, masyarakat Islam diyakini mampu untuk bangkit menguasai kembali sektor ekonomi di negara ini.
“Bagi S yang pertama iaitu ‘Saving’, kita boleh menyimpan dalam bentuk pelaburan, tidak kira sama ada saham atau bahan mineral seperti emas, dan pelbagaikan portfolio lain yang memberi kebaikan.
“S yang kedua iaitu ‘Spending’ pula bermaksud, kita berbelanja di tempat sepatutnya, terutamanya dengan usahawan-usahawan kecil ataupun peniaga yang mengembalikan keuntungan kepada orang ramai.
“Yang terakhir ialah ialah Sadaqah. Keuntungannya bukan semestinya dalam bentuk fizikal tetapi keredhaan dari Allah. Kalau ada RM10 pun tidak mengapa, asalkan dengan niat yang baik untuk bersedaqah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi Kluster Ekonomi dalam Himpunan Munajat Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) malam tadi yang disertai oleh 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam yang diadakan secara maya.
Menurut Mohd Fadzil, ekonomi Melayu dan Islam ketika ini agak ‘ketinggalan’ jika dibandingkan dengan kaum lain, sebagai contoh ialah kebergantungan pengeluaran makanan halal termasuk sektor pertanian.
“Data menunjukkan RM50 billion makanan asas diimport setiap lima tahun dan riba menjadi sandaran kehidupan walaupun ia satu-satunya dosa yang Allah dan RasulNYA telah isytiharkan perang.
“Kita dengar mengenai isu daging yang tidak sah halalnya diimport dan macam-macam lagi, Jadi kita kena buat sesuatu, bangkit untuk kuasai semula sektor ekonomi terutamanya di negara kita,” katanya.
Berikut 13 NGO yang menyertai himpunan berkenaan semalam:
- Ittihad AnNur
- BUMI
- PERKID Malaysia
- Pertubuhan Kebajikan Asyraaf Msia
- Pertubuhan Al-Mazahiri
- Malakat Mall
- Pertubuhan Manakib Sheikh Abd Qadir Al-Jailani
- MAMPIR
- Dunia Seni Silat Melayu (DSSM)
- Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (PERTAMA)
- Pertubuhan Adat & Kesenian Melayu Negeri Sembilan
- Hazihi Sabili
- Majlis Taalim Darul Muhibbin