Beberapa negeri berpotensi beralih ke Fasa 2 PPN

0
123
Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat MKN hari ini.

CYBERJAYA– Beberapa buah lagi negeri berpotensi untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata, negeri terbabit menunjukkan perkembangan baik untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang.

“Alhamdulillah selain lima buah negeri telah pun beralih ke Fasa 2 PPN, terdapat beberapa buah negeri lagi menunjukkan perkembangan amat baik dan berpotensi mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video dari hospital hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat itu bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 dalam negara.

Jelas beliau, ia termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuatkuasa di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur serta laporan pemantauan setiap negeri dalam fasa pemulihan negara.

“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here