Belia perlu jadikan usahawan sebagai kerjaya pilihan

0
128
GAMBAR HIASAN

KERAJAAN Malaysia begitu komited dalam menyediakan ekosistem keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia negara keusahawanan menjelang tahun 2030.

Usaha ini dapat dilihat melalui pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) pada tahun 2018 (kini dikenali sebagai MEDAC).

Antara objektif utama dasar ini adalah untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan dan membentuk masyarakat Malaysia yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan.

Walau bagaimanapun, golongan belia terutamanya bumiputera terutama para siswazah dilihat kurang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Siswazah lebih berminat untuk menjadi pekerja di syarikat-syarikat swasta atau kerajaan. Malangnya, peluang pekerjaan yang dirasakan setimpal dengan kelulusan agak terhad.

Lebih membimbangkan apabila siswazah adalah golongan yang paling tinggi menganggur dalam kalangan belia.

Apa yang menyedihkan, sebilangan besar daripada jumlah ini termasuk dalam kelompok kumpulan isi rumah terendah, B40. Tidak dinafikan, golongan siswazah menganggur adalah tinggi di kebanyakan negara dan merupakan tren global sejak kebelakangan ini.

Keadaan ini bertambah buruk dengan masalah kemerosotan ekonomi global berpunca daripada langkah membendung penularan wabak Covid-19.

Justeru, belia perlu melihat keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama. Dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, belia bukan sahaja mampu menyediakan peluang pekerjaan namun ianya juga mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Contohnya, Jeff Bezos yang merupakan pengasas dan pemilik syarikat Amazon.com merupakan individu terkaya di dunia pada masa kini dengan nilai bersih kekayaan sebanyak AS$138.5 bilion (RM600 bilion).

Pendapatan melalui perniagaan atas talian yang diasaskan oleh beliau telah meningkat dengan begitu mendadak kesan dari pandemik Covid-19.

Kesan daripada perintah berkurung dan slogan ’stay at home’, cara pembelian secara digital semakin meningkat.

Golongan belia terutamanya golongan terpelajar seperti siswazah perlu menukar tanggapan yang negatif terhadap kerjaya sebagai usahawan. Dengan sikap yang positif, usaha, ilmu, kemahiran dan sokongan padu daripada pihak kerajaan serta ekosistem keusahawanan yang yang kondusif, impian untuk menjadi usahawan pasti menjadi realiti.

Tambahan pula, terdapat pelbagai pilihan aktiviti perniagaan yang boleh diceburi sesuai dengan keadaan semasa, kemahiran dan minat. Antaranya, penghantaran secara dropship, menadi pembangun laman sesawang atau media sosial sesebuah syarikat, menjadi penterjemah dan pembaca pruf untuk manuskrip atau laman sesawang, katering dari rumah, membekalkan makanan dan minuman berkhasiat, mengajar kursus atau subjek secara atas talian, pembeli peribadi, penulis konten, dan banyak lagi jenis perniagaan yang menggunakan modal yang minimum.

Bagi golongan belia luar bandar pula, peluang untuk menjadi usahawan agro terbuka luas terutamanya ketika dunia dilanda wabak Covid-19 yang mana terdapat sekatan terhadap ekspot makanan dari negara lain.

Mengikut statistik dari Jabatan Perangkaan Negara, kadar sara diri (SSR) Malaysia masih lagi ditahap yang rendah dimana hanya 22 daripada 36 komoditi pertanian mencapai atau melebihi 100 peratus. Antara yang belum mencapai 100 peratus SSR adalah padi, daging lembu dan kambing, sayuran tertentu seperti cili, kubis bulat dan buah buahan seperti mangga, dan kelapa.

Kerajaan turut menyediakan bantuan di bawah lima bidang tumpuan seperti akses pembiayaan, pembangunan modal insan, akses pasaran, penerapan inovasi dan teknologi serta infrastruktur. Kesemua bidang tumpuan ini dipertanggungjawabkan kepada kementerian dan agensi yang berkaitan. Maklumat lengkap boleh didapati di laman sesawang SME Corporation Malaysia.

Bagi memperkasakan aktiviti keusahawanan, pihak MEDAC dan insititusi pengajian tinggi (IPT) perlu kerjasama yang erat untuk melahirkan lebih ramai usahawan.

Maklumat mengenai jenis bantuan dan sokongan perlu dijelaskan dan dilaksanakan diperingkat IPT agar ia dapat dirancang dari awal dan menjadi sebahagian silibus dan aktiviti di IPT.

Dengan demikian, hasil bimbingan, latihan, dan bantuan kewangan dari pihak kerajaan kepada pelajar IPT akan dapat menghasilkan usahawan yang berkualiti dan berdaya saing.

Dalam masa yang sama belia perlu membuka mata dan berusaha mencari ilmu mengenai perniagaan yang bakal dijalankan agar risiko kegagalan dapat dikurangkan.

Artikel oleh:
Dr. Sylvia Nabila Azwa Ambad,
Pensyarah Kanan (Keusahawanan),
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sabah,
Pensyarah Bersekutu Arshad Ayub Graduate Business School.



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here