Bendera putih : ABIM mahu pemimpin politik ambil iktibar

0
247
Muhammad Faisal Abdul Aziz

SHAH ALAM – Kempen mengibar bendera putih yang digerakkan oleh rakyat negara ini tidak seharusnya dipersalahkan sebagai modal politik sebaliknya dilihat sebagai tanda kebersamaan rakyat untuk membantu antara satu sama lain.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, inisiatif yang melangkaui kepentingan politik tersebut bagaimanapun secara ‘tidak sengaja’ telah menyedarkan kepimpinan negara tentang kesengsaraan yang ditanggung rakyat ketika ini.

Sebaliknya kata beliau, fenomena baharu itu perlu dilihat oleh pemimpin negara sebagai signal bahawa kehidupan rakyat kini berada di tahap kritikal sehingga ramai yang tidak lagi sanggup menunggu bantuan daripada pihak kerajaan semata-mata.

“Ini dapat dilihat menerusi beberapa insiden yang menyedihkan termasuklah kes bunuh diri yang semakin meningkat.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertarikh 1 Julai 2021, secara keseluruhan statistik bunuh diri di Malaysia telah menjangkau angka 1,000 dari tahun 2019 hingga Mei 2021 serta menyaksikan purata kes bunuh diri sebanyak dua kali sehari.

“Begitu juga dengan laporan daripada Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) menyatakan lebih 600,000 isi rumah daripada golongan berpendapatan pertengahan tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 dan ia memberi gambaran kesengsaraan rakyat yang semakin menebal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kempen mengibar bendera berwarna putih mula digerakkan nitizen melalui media sosial beberapa hari lalu sebagai tanda memerlukan bantuan.

Inisiatif itu bagaimanapun mendapat tentangan beberapa pihak termasuk pemimpin parti politik yang menyifatkan tindakan itu sebagai tanda menyerah kalah dalam peperangan dan mengaibkan diri.

Sehubungan itu Muhammad Faisal berkata, semua pihak sepatutnya menghormati hak rakyat untuk mencari jalan atau ikhtiar bagi menyelesaikan penderitaan yang dihadapi sekarang.

“ABIM menyatakan bahawa semua pihak harus menghormati hak rakyat untuk mengibarkan bendera putih sebagai cara yang ada untuk menampung kelangsungan hidup diri dan keluarga.

“Maka, pihak kerajaan tidak seharusnya menghalang inisiatif murni rakyat untuk membantu rakyat yang lain khususnya menerusi pelbagai tafsiran politik yang menyimpang.

“Tindakan seperti ini bakal menzahirkan kemarahan rakyat yang memang sudah semakin tertekan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here