Brainy Bunch bersedia untuk perluasan global, sasar senaraian di Nasdaq

0
437
Brainy Bunch di Cyberjaya. foto FARID JANUDIN/MT

CYBERJAYA – Selepas sedekad bertapak dengan 104 cawangan di seluruh negara, Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch menerusi pelan pembangunan 10 tahun akan memperluaskan sistem pendidikan montessori Islam ke seluruh dunia.

Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, fasa pengembangan Brainy Bunch melalui Wawasan 2030 mensasarkan pembukaan beberapa cawangan global termasuk di benua Amerika, Australia dan Eropah.

Beliau berkata, usaha pembangunan fasa yang lebih rancak itu akan menjadi sebahagian daripada pelaburan Dana Amanah Brainy Bunch yang akan dilancar dan dibuka kepada orang awam tidak lama lagi.

“Kami melalui perkembangan yang rancak pada lima tahun pertama pengembangan Brainy Bunch. Selepas tempoh itu kami rileks sekejap untuk fokus kepada perkara-perkara fundamental (pendidikan).

“Sekarang masanya sudah tiba sekali lagi untuk kami tempuh fasa pengembangan yang sama tapi kali ini ke peringkat global.

“Kami sudah bertapak di rantau Asean, insya-Allah Brainy Bunch akan diperluaskan di Amerika, Australia, Eropah, Amerika Utara dan ke seluruh dunia,” katanya kepada Malakat Tribune.

Coach Fadzil (atas kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), Syaraff al-Sadat(kiri) selaku moderator mesyuarat online bersama rakan strategik Brainy Bunch Brunei, Datuk Mahdi Abdul Rahman.

Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata demikian semasa mesyuarat bersama Rakan Strategik Brainy Bunch Brunei, Datuk Mahdi Abdul Rahman menerusi aplikasi Zoom semalam.

Pada sesi itu, beliau mengumumkan pembukaan cawangan Brainy Bunch pertama di Brunei Darussalam yang akan beroperasi pada September tahun ini.

Coach Fadzil berkata, melalui pelan pelebaran global Brainy Bunch, beliau mensasarkan nilai institusi pendidikan montessori Islam itu meningkat kepada USD10 bilion dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Dengan pengumuman pembukaan Brainy Bunch Brunei, kami juga akan membuka pejabat di Amerika Syarikat sebagai persediaan untuk disenaraikan di Nasdaq.

Sasaran pengembangan perniagaan Brainy Bunch untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Insyallah dalam masa 10 tahun lagi kami akan menjadi syarikat bernilai USD10 bilion sebelum menjadi syarikat IPO (Saham Terbitan Awam),” katanya.

Mengulas mengenai Dana Amanah Brainy Bunch, Coach Fadzil berkata, pelaburan yang akan membolehkan orang ramai membeli saham pada harga mampu milik itu mensasarkan dana awal sebanyak RM300 juta.

Katanya, dana itu akan digunakan dalam pelaburan perniagaan start-up termasuk pembelian hartanah yang strategik.

Sementara itu, Datuk Mahdi selaku rakan strategik Brunei berkata, melalui kerjasama baharu yang terjalin itu beliau akan membantu pengembangan Brainy Bunch ke luar negara, bermula dengan Australia dan United Kingdom.

Beliau yang merupakan bekas Duta Besar Brunei ke UNESCO, bekas Duta Besar Brunei ke Mesir dan Vietnam bersetuju menggunakan ‘rangkaian’ kenalannya terutama di pertubuhan dakwah global untuk tujuan itu.

“Selepas pembentangan misi pendidikan Brainy Bunch, saya sangat yakin model pendidikan Islam ini akan diterima di banyak negara,” katanya.

Tiga lot rumah teres yang sedang dalam proses renovasi sebagai cawangan Brainy Bunch Play School di Brunei.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here