
CYBERJAYA – Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch akan melebarkan sayap perniagaan melalui pembukaan cawangan luar negara ke lapan di Brunei Darussalam.
Pada masa kini, tadika montesorri Islam itu mempunyai empat cawangan di Singapura, dua di Indonesia dan satu di Gaza, Palestin.
Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, pembukaan Brainy Bunch Play School di Pengkalan Gadong pada September ini merupakan langkah pertama perluasan semula rangkaian perniagaan di pentas global.
Beliau berkata, usaha itu sebahagian daripada Wawasan 2030 Brainy Bunch yang kini mempunyai 104 cawangan di dalam negara untuk menguasai pasaran antarabangsa.
“Sejak sedekad lalu kami telah menerima banyak permintaan untuk memperluaskan Brainy Bunch di banyak negara.
“Kami percaya masanya sudah sampai untuk menyahut seruan yang ada dan mempertimbangkan lebih banyak peluang secara serius selari dengan misi 10 tahun Brainy Bunch,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.
Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata demikian semasa mesyuarat bersama Rakan Strategik Brainy Bunch Brunei, Datuk Mahdi Abdul Rahman menerusi aplikasi Zoom yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), Syaraff al-Sadat.

Datuk Mahdi yang merupakan bekas Duta Besar Brunei ke UNESCO, bekas Duta Besar Brunei ke Mesir dan Vietnam berkata, pembukaan tadika yang terletak kira-kira 7 kilometer dari pusat Bandar Seri Begawan itu kini di peringkat akhir.
Katanya, tadika yang akan beroperasi dengan 16 orang tenaga pengajar dan seorang pengurus itu berkapasiti menempatkan 85 orang murid.
“Semuanya tinggal menunggu beberapa keputusan dan kelulusan daripada pihak berkuasa. Insyallah kami akan beroperasi pada akhir September ini,” katanya.
Mahdi berkata, beliau yang yakin kepada sukatan pelajaran montessori Islam Brainy Bunch, mensasarkan pembukaan 80 hingga 100 cawangan tadika Brainy Bunch di negara itu dalam masa 10 tahun.
Antara kawasan lain yang telah dikenal pasti adalah di pusat Bandar Seri Begawan, Tutong, Berakas, Jerudong, Kuala Belait, Sengkurong, Lambak Kanan, Muara dan Beribi.


Mahdi berkata, selepas mendengar taklimat daripada Coach Fadzil mengenai cita-cita sekolah Brainy Bunch untuk menjadi sebuah institusi pendidikan Islam bertaraf global, beliau meletak keyakinan penuh untuk melihat jenama itu berkembang di Brunei.
“Saya juga telah melawat kampus utama Brainy Bunch di Cyberjaya dan saya lihat falsafah Coach Fadzil bertepatan dengan cita-cita saya untuk membina sistem pendidikan awal kanak-kanak berlandaskan Islam di Brunei.
“Saya yakin dengan strategi pemasaran dan pencapaian yang sudah dimilik Brainy Bunch, ia akan menjadi satu lagi pilihan sekolah yang baik untuk anak-anak di sana.
“Di peringkat ini kami yakin dan mengharapkan rakan strategik kami di Malaysia menjadi rakan perniagaan yang baik dan terus berjaya,” katanya.