
CYBERJAYA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew dan pasukannya yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin terpaksa mengharungi perjalanan selama 21 jam dan melalui 21 pemeriksaan pasukan keselamatan Mesir ketika hendak masuk ke Gaza.
Ebit berkata, perjalanan yang panjang dan lama itu menyebabkan beliau dan pasukannya yang tiba kira-kira pukul 1 pagi di Gaza berasa letih dan perlu mendapatkan rehat sebelum meneruskan misi keesokannya.
“Kami bersyukur Kedutaan Malaysia membantu kami sampai habis. Memang rezeki bila dapat masuk dalam 21 jam dengan diiringi kereta kebal selama 21 jam dan melalui 21 check point. Itu sahaja jalan dia dan tiada jalan lain lagi sebab melibatkan negara lain.
“Bayangkan ke tandas dan makan pun kami tak sempat, duduk tegak sahaja dalam tu selama 21 jam, bayangkan macam mana keadaannya.
“Apabila sampai sana dan turun bas ketika itu saya fikir saya belum solat Isyak dan Maghrib dan hendak lakukan solat jamak, tapi apabila sampai mereka minta saya masuk dan pada waktu itu saya tak pandang orang lain. Saya kalau orang salam dan tegur saya akan salam, saya betul-betul tak perasan ada Nadir di situ,” katanya dalam siaran langsung melalui laman Instagram miliknya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya warga maya dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri bahawa pendakwah terkenal itu tidak menyapa beliau sebaik tiba di Gaza sehingga menimbulkan tanggapan Ebit berlagak dan bertindak biadab terhadap ‘tuan rumah’.
Dalam pada itu, Ebit berkata, selepas menyampaikan ucapan ringkas beliau dan pasukannya dengan segera menunaikan solat jamak.
Sementara itu, menyentuh mengenai dakwaan Nadir bahawa terdapat arahan untuk tidak melakukan siaran langsung, katanya, langkah itu diambil bagi mengelakkan sebarang perkara tidak dijangka berlaku.

“Tentang siaran langsung, kalau ikut misi bantuan kami memang tak bagi buat live sebab kita tak jangka apa perkara buruk yang berlaku dan macam-macam benda baik tak jadi, ini kerana ada orang kadang-kadang peluk saya, tambahan pula sekrang dengan SOP pula saya tak nak ada yang kena (hukuman) nanti.
“Kalau semua lihat, saya suka masukan perkara yang positif dalam Facebook dan Instagram,” katanya.-MT