
SHAH ALAM – Bunyi siren kebakaran di sebuah kilang di sini telah mencetuskan panik sehingga menyebabkan puluhan pekerjanya cuba melompat pagar untuk melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian antara jam 4.30 hingga 5 petang itu bukan kerana operasi atau serbuan pihak penguatkuasa.
“Siasatan awal dijalankan mendapati berlaku kegagalan fungsi ‘alarm’ kebakaran, dan difahamkan pihak syarikat dalam proses pemeriksaan sistem pendawaian, bunyi ‘alarm’ menyebabkan ramai pekerja jadi panik dan lari keluar takut ada kebakaran.
“Kilang ini difahamkan baru sahaja diambil alih oleh sebuah syarikat, memandangkan syarikat ini masih baru iaitu lebih kurang sebulan ramai pekerja dan pengurusan belum di dedahkan dengan ilmu latihan kebakaran seperti tempat berhimpun dan ‘evacuatian plan’,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semalam, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan pekerja kilang memanjat pagar sebuah kilang.
Situasi itu menyebabkan orang ramai beranggapan adanya serbuan pihak berkuasa di kilang terbabit.-MT