‘Capital mechanism’ cara terbaik kembangkan perniagaan, jenama

0
94

CYBERJAYA – Para usahawan rata-rata mempunyai idea dan hasrat untuk mengembangkan perniagaan dan jenama, namun sering mengalami kekangan kewangan.

Umumnya, dalam perkembangan jenama, sumber yang akan digunakan adalah dengan menggunakan keuntungan syarikat yang kembali digunakan sebagai suntikan dana, ataupun mengambil pinjaman bank yang sudah tentunya akan terikat dengan riba.

Namun, masih ramai para usahawan di dalam negara yang belum memahami konsep ‘capital mechanism’ sebagai satu sumber untuk mengembangkan jenama mereka.

Menurut Pengasas Jardin Pharma, Dr. Maryam Aziz, konsep ini sebenarnya telah lama digunapakai di luar negara, namun asing buat kita kerana kurangnya ilmu berkenaan perniagaan.

“Konsep ini memang agak asing, kerana kita tidak didedahkan dengan dunia perniagaan yang sepenuhnya,” kata Dr. Maryam pada sesi Malakat Talk, malam tadi.

‘Capital mechanism’ secara ringkasnya mengumpulkan dana daripada para pelabur, dengan dana itu digunakan bagi mengembangkan perniagaan dan jenama.

Para pelabur akan menerima dividen (yang ditetap mengikut perjanjian) daripada pelaburan mereka, ataupun mempunyai pilihan untuk menjual saham mereka kepada individu atau entiti lain apabila diperlukan.

“Kebanyakan daripada kita mengembangkan perniagaan secara organik, iaitu menggunakan keuntungan yang di suntik semula ke dalam perniagaan sebagai modal.

“Tetapi, cara ini lambat dan amat meletihkan, kerana ia akan memakan masa yang panjang,” tambah Dr. Maryam.

Sebagai golongan majoriti di dalam negara, sudah sampai masanya kita menyedari bahawa kita mempunyai kuasa membeli yang kuat, dan pada masa yang sama kita mempunyai kuasa ekonomi yang amat kukuh jika dapat disatukan.

“Kita, bila buat bisnes, tak semestinya kita kena stand alone. Dengan cara itu kita tidak ada kekuatan.

“Kita sepatutnya buat secara berjemaah kerana kekuatan kita ada di situ,” tambah Dr. Maryam lagi.

Sesi Malakat Talk merupakan sesi perkongsian ilmu perniagaan dan dihoskan oleh Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim, dan disiarkan secara langsung di Facebook Malakat Mall.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here