Caprice mohon maaf, janji akan pulang ke Malaysia

0
651
Caprice ketika bertemu Ebit Lew di Kaherah, Mesir baru-baru ini

CYBERJAYA – Selepas beberapa hari terlibat dalam kontroversi, penyanyi rap, Caprice akhirnya tampil memohon maaf kepada pembesar, pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia di atas segala kesilapannnya dalam usaha menjalankan misi bantuan ke Gaza, Palestin.

Dalam satu hantaran menerusi laman Instagram miliknya sebentar tadi, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 32, kontroversi yang berlaku itu adalah berpunca dari kesilapan dirinya dan tiada kaitan dengan pihak lain.

“Saya mohon maaf atas kesilapan saya di mana kita terlalu emosi mengenai pejuang kita demi ummah, Palestin dan rakyat Malaysia. Apa yang berlaku adalah kesilapan saya sendiri dan tidak terbabit pihak lain.

“Saya juga minta maaf kepada ibu dan ayah kerana membuatkan mereka risau mengenai keselamatan saya selama ini. Saya sayang kamu dan apa yang saya lakukan adalah untuk membuat kamu bangga,” katanya.

Kontroversi mula tercetus selepas Caprice secara tiba-tiba menyerang pendakwah terkenal, Ebit Lew bersama pasukannya berhubung bantuan yang dilakukan di Gaza, Palestin baru-baru ini.

Malah, Caprice juga tidak mahu pulang ke tanah air sekiranya kepimpinan negara tidak bertukar kerana bimbang keselamatan dirinya.

Dalam pada itu, Caprice yang kini masih berada di Kaherah, Mesir turut mengucapkan terima kasih dengan kepada kerajaan, Kedutaan Malaysia di Mesir serta kerajaan Mesir di atas segala layanan, sokongan dan perlindungan keselamatan selama 24 jam sepanjang dia berada di negara itu, termasuk buat semua pihak yang sudah membantunya.

Caprice juga memaklumkan dia akan pulang ke tanah air selepas menyelesaikan segala urusan serta melunaskan janjinya kepada warga Palestin.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here