Ceroboh hutan simpan: Pembela desak SPRM tidak pilih kasih ambil tindakan

0
100
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) sekali lagi menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap dalang kepada pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang untuk ditanam durian Musang King.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, tindakan itu perlu diambil tanpa ada pilih kasih.

“Perlu ditegaskan bahawa rakyat sedang memerhatikan dan menilai tindakan SPRM sebagai sebuah badan yang menjadi kayu ukur dalam hal integriti negara.

“Pada masa sama, Pembela turut menuntut pihak keselamatan meneruskan tindakan mereka dengan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dilihat berfungsi begitu baik dalam mengawal keadaan yang membolehkan proses penebangan pokok berjalan lancar.

“Mana-mana pihak yang cuba menyekat usaha penebangan ini mesti di kenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Pembela juga mendesak kerajaan negeri Pahang menghentikan sebarang rundingan
atau sebarang kompromi dengan penceroboh kerana ia akan menyebabkan usaha-usaha pembersihan terbantut sebagaimana yang berlaku di Sungai Ruan dan Kampung Chalit.

Katanya, kawasan hutan simpan kekal hendaklah kekal menjadi hutan simpan dan tidak dijadikan kawasan bagi sebarang aktiviti pertanian bagi menjaga alam sekitar, ekologi dan mengelak pencemaran.

“Pembela berharap agar pihak berkuasa konsisten dalam menguatkuasakan undang-undang dengan penuh ketegasan dan integriti terutamanya dalam isu pencerobohan tanah bukan hanya di Raub bahkan daerah-daerah di seluruh negeri Pahang,” ujarnya.

Sejak awal minggu ini, kerajaan negeri Pahang telah mengambil tindakan tegas terhadap penceroboh hutan simpan di Batu Talam dengan memusnahkan tanaman Musang King yang telah diusahakan sejak 20 tahun lalu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here