Coach Fadzil utus surat kepada Sultan Selangor mohon buka masjid untuk jemaah 40 hari

0
3814
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim yang juga pejuang ekonomi Islam memaklumkan beliau menulis surat secara peribadi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendapat keizinan bagi membuka masjid di negeri itu ketika ini.

Beliau berkata, permohonan untuk membuka masjid itu ialah khusus untuk jemaah khas munajat selama 40 hari dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Permohonan ini juga merupakan salah satu usaha untuk memohon kepada Allah supaya negara kita dihindari daripada wabak Covid-19. Untuk itu, kami rakan-rakan dari Kumpulan Malakat ECO memohon supaya masjid menerima jemaah khas munajat 40 hari yang akan tinggal di masjid dan menghidupkan amal masjid.

“Setiap masjid akan mempunyai seramai 40 jemaah yang tinggal bersama sehingga tempoh hari berakhir. Setiap jemaah yang terpilih akan disaring dan mengambil ujian Covid-19 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, jemaah yang terpilih juga tidak boleh keluar dari kawasan masjid sepanjang tempoh itu.

Bagi memudahkan urusan setiap jemaah tersebut, Coach Fadzil berkata, pihaknya juga akan menyediakan bantuan bekalan makanan secara percuma kepada jemaah serta menanggung kos elektrik dan air untuk tempoh 40 hari itu di masjid berkenaan.

Sejak pelaksanaan PKP sejak bulan lalu, jumlah jemaah di setiap masjid dihadkan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam

Mengulas lebih lanjut, pihaknya telah mempunyai senarai jemaah yang akan mengimarahkan rumah Allah itu sekiranya permohonan itu diluluskan.

“Kita mohon sokongan dan doa serta dibuka hati sultan kita dan penasihat baginda untuk menghantar jemaah ke masjid di seluruh negeri ini, kita harap paling kurang diberi kebenaran untuk mengimarahkan 100 masjid daripada lebih 400 masjid yang ada di Selangor.

“Kita lakukan usaha ini adalah untuk mendapatkan nusrah Allah, hanya Allah yang mempunyai kuasa. Sebagai orang beriman kita kena balik kepada Allah,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here