Covid-19: Remaja 15 tahun penyebab kluster Kampung Bechah

0
171
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Seorang remaja perempuan berumur 15 tahun dikesan menjadi pemcetus kluster Kampung Bechah Tembesu di Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster dalam kalangan komuniti itu dikesan hasil saringan individu bergejala yang dijalankan di kampung berkenaan.

Katanya, kes berkenaan dilaporkan positif Covid-19 pada Jumaat lalu selepas mengalami gejala bermula 28 Jun lalu.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Bechah Tembesu, Kota Bharu.

“Sehingga kini seramai 22 individu sudah disaring dan daripada jumlah itu 10 individu dilaporkan positif Covid-19 termasuk sembilan kes baharu yang dikesan hari ini.

“Selain itu, satu lagi kluster dalam kalangan komuniti dikenali sebagai Kluster Kluster Kampung Bakong Gunung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selain dua kluster komuniti itu, turut dikesan ialah 11 kluster tempat kerja yang dikenali sebagai Kluster Industri Tech Valley Sendayan, Kluster Industri TTJ 2; Kluster Jalan Harmoni Sembilan; Kluster Jalan Sri Sulong, Kluster Lorong Berjaya dan Kluster Jalan Kayu Madang.

Turut dikesan ialah Kluster Industri Bentong Sebelas 2; Kluster Industri Jerantut Feri; Kluster Industri 121 Kuala Baram, Kluster Dah Satu Industri Kulim dan Kluster Lintang Macallum Dua.

Sementara itu, mengenai kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, kes penularan Covid-19 di negara ini melebihi 6,000 kes lima hari berturut-turut iaitu sebanyak 6,387 kes dilaporkan hari ini dengan 77 kematian.

Beliau berkata, pertambahan kes berkenaan sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 785,039 kes.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini sebanyak 2,610 kes dikesan di Selangor, diikuti Kuala Lumpur dengan 819 kes baharu, Negeri Sembilan (523); Sarawak (424); Johor (324); Pahang (312); Kedah (273); Sabah (263) dan Perak (249).

“Turut mencatatkan pertambahan kes hari ini ialah Melaka dengan 206 kes baharu, Pulau Pinang (157); Kelantan (114); Labuan (71); Putrajaya (25) dan Terengganu (17).

“Hanya Perlis tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes baharu hari ini. Pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 69,447 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 923 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 433 masih memerlukan alat bantuan pernafasan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here