
LIMA, Peru – Para saintis kini bimbang dengan penularan varian Lambda yang dianggap sebagai lebih berbahaya daripada varian Delta yang berasal daripada India.
Menurut portal news.com.au, varian yang mula dikesan di Peru itu, kini sudah merebak ke hampir 30 negara dalam 4 minggu lalu.
Untuk rekod, Peru merupakan negara dengan angka kematian paling tinggi di dunia.
Difahamkan, kes jangkitan varian Lambda telah turut dikesan di United Kingdom, dengan setakat ini sebanyak 6 kes disahkan.
Menurut Profesor Pablo Tsukayama dari Universiti Cayetano Heredia, varian Lambda merupakan varian dominan di Peru, dengan 82 peratus daripada kes jangkitan di negara Amerika Selatan itu adalah disebabkan olehnya.
“Penularan ini menunjukkan kadar jangkitannya adalah melebihi varian lain,” katanya.
Dakwaan Profesor Pablo turut disokong oleh satu laporan yang dikeluarkan oleh Inisiatif Genom Covid-19 yang berpusat di Institut Welcome Sanger.
“Varian Lambda mempunyai struktur unik, iaitu 7 mutasi pada pancang protein yang virus tersebut gunakan untuk menjangkiti sel manusia.
“Buat masa ini, para pengkaji sedang memberi tumpuan pad satu mutasi yang dinamakan sebagai L452Q, yang kelihatan hampir sama dengan mutasi L452R pada varian Delta yang menyebabkan ia mudah dijangkiti,” kata Pengarah Institut Welcome Sanger, Jeff Barrett.