Dana Amanah Brainy Bunch tawar ‘pelaburan untuk semua’

0
317

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco akan melancarkan Dana Amanah Brainy Bunch untuk memberi peluang kepada orang ramai melabur dalam projek-projek pelaburan start-up.

Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, melalui pengumpulan dana itu pihaknya mensasarkan penyertaan pelaburan daripada orang awam berjumlah RM300 juta.

“Kami sedang merancang satu pelaburan yang boleh disertai oleh orang ramai kerana sebelum ini pelaburan dalam syarikat start-up biasanya dibuka kepada orang-orang kaya sahaja kerana melibatkan jumlah pelaburan berjuta-juta ringgit.

“Dana yang dikumpul ini akan digunakan dalam pelaburan hartanah dengan membeli sekolah dan bangunan di dalam dan luar negara,” katanya dalam sesi Live Facebook bertajuk ‘Hadiah Untuk Anak’ hari ini.

Beliau berkata, melalui pembelian saham yang ditawarkan pada harga ‘mampu milik’ itu juga, pihaknya mensasarkan nilai perniagaan Brainy Bunch akan meningkat kepada RM10 bilion dalam masa 10 tahun.

Katanya, usaha itu juga memberi peluang kepada Brainy Bunch untuk menikmati penjimatan sehingga RM10 juta setahun dan seterusnya ‘melepaskan’ perniagaan daripada komitmen bank.

“Salah satu daripada kelebihan dalam pelaburan start-up adalah keupayaan untuk tidak melibatkan pinjaman bank dan bebas dari riba. Insyallah ada keberkatan di situ.

“Bagaimana ia akan dilakukan akan diumumkan apabila ia dilancarkan tidak lama lagi. Jangan lepaskan peluang ini.

“Sasaran kita di Brainy Bunch adalah untuk tidak perlu lagi berhutang dengan bank pada penghujung tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pelaburan start-up membuka peluang pulangan dividen yang besar tetapi masih tidak banyak disertai orang Melayu.

Katanya, salah satu daripadanya adalah melalui pelaburan dalam syarikat yang mampu memberi dividen yang tinggi sehingga beratus kali ganda.

Melalui cara itu juga katanya, beliau mahu berkongsi cara untuk orang ramai menjana pendapatan pasif sehingga RM6,000 sebulan.

Namun katanya, untuk mendapatkan dividen sebanyak itu, seseorang perlu melabur sehingga RM600,000 jika kita andaikan jumlah dividennya 10 peratus dan tidak semua orang mampu melabur dengan angka tersebut.

“Di sini pentingnya ilmu. Jika kita tidak ada RM600,000 tapi cuma ada RM6,000 sahaja, kita kena cari pelaburan yang mampu memberikan pulangan dividen sehingga 100 kali ganda, maka kita akan dapat jumlah dividen yang sama iaitu kira-kira RM6,000 sebulan.

“Inilah Hadiah Untuk Anak yang saya rasa semua orang mahu sediakan sebelum persaraan mereka. Yang mana nanti semua perbelanjaan untuk anak sudah bergerak sendiri dan kita pula boleh tumpukan perhatian kepada amal-amal kebaikan menuju akhirat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here