Dera Bella: Pemilik Rumah Bonda ditahan polis

0
208

CYBERJAYA – Pemilik Rumah Bonda yang dikaitkan dengan kes penderaan melibatkan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang tular di media sosial sejak minggu lalu ditahan polis, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, wanita berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Katanya, suspek ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberikan keterangan selepas beberapa laporan polis dilakukan terhadapnya.

“Kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella mengalami kecederaan teruk pada bahagian badan dipercayai akibat didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Rumah kebajikan tersebut kemudian disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah didapati telah melakukan pelanggaran syarat dalam pengoperasian sebagai sebuah pusat jagaan.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah berkata, polis mengemukakan permohonan reman ke atas wanita itu pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

“Masyarakat perlu memahami, kita perlu ambil kira banyak aspek perundangan ketika jalankan siasatan, termasuk hak undang-undang serta keselamatan semua pihak yang terlibat termasuk situasi semasa.

“Sehubungan itu, kita minta masyarakat untuk terus beri keyakinan kepada pasukan penyiasat PDRM untuk melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Bagaimanapun Utusan Malaysia hari ini melaporkan, permohonan reman terhadap pemilik Rumah Bonda tersebut ditolak mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here