Doktor kontrak diberi amaran tidak sertai tunjuk perasaan

0
245
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan semua doktor dan petugas kesihatan supaya tidak terlibat dalam sebarang tunjuk perasaan yang dirancang diadakan pada pukul 11 pagi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, sebagai petugas kesihatan, mereka perlu menghormati sumpah yang dilafazkan untuk tidak membahayakan nyawa pesakit.

“Kepada semua doktor junior dan berstatus kontrak, saya menggesa supaya tidak terlibat dalam tunjuk perasaan dan meninggalkan tugas merawat pesakit.

“Ingatlah, banyak nyawa yang perlu dirawat dan dengan tunjuk perasaan ini bukan sahaja boleh mengancam nyawa pesakit malah kerjaya sebagai doktor,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan semalam nekad untuk mengadakan tunjuk perasaan di semua hospital di seluruh negara sebagai membela nasib mereka yang masih berstatus doktor kontrak walaupun telah berkorban nyawa ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memahami hasrat doktor kontrak yang mahu meneruskan tugas di Kementerian Kesihatan sebagai doktor tetap.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini kerajaan menawarkan sambungan kontrak selama dua tahun lagi.

Katanya, langkah itu diambil kerajaan bagi memberi masa kepada kerajaan untuk meminda Akta Pencen supaya doktor berstatus tetap dapat diambil bekerja dengan menggunakan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Untuk sementara waktu kerajaan bersetuju untuk membenarkan doktor berstatus kontrak untuk menyambung pengajian dalam peringkat master walaupun memegang status kontrak dan mereka akan ditawarkan skim KWSP selepas penjawatan itu diluluskan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here