Doktor kontrak sertai hartal tidak dikenakan tindakan

0
41
Adham
Dr. Adham Baba

CYBERJAYA – Kerajaan memberi jaminan tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap doktor-doktor kontrak yang terlibat menyertai perhimpuan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kementeriannya tidak akan mengambil tindakan kerana kumpulan doktor berkenaan berhak menyuarakan hak mereka.

“Berkaitan doktor kontrak (yang menyertai hartal), mereka tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

“Tiada tindakan akan dikenakan ke atas mereka walaupun mereka keluar untuk demonstrasi. Kita tidak akan ambil tindakan, mereka berhak menyertai perhimpunan berkenaan,” katanya ketika sesi penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, lebih 100 doktor kontrak di hospital seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Perhimpunan yang diadakan serentak pada waktu rehat itu mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini memberi amaran kepada doktor-doktor kontrak supaya tidak mengadakan protes berkenaan bagi mengelak sebarang tindakan tata tertib dikenakan.

Kira-kira 50 orang doktor kontrak yang sertai gerakan Hartal Doktor Kontrak di Hospital Kuala Lumpur. foto/ Farid Janudin

Sementara itu, Adham berkata, sebanyak RM100 juta peruntukan tambahan telah dipohon oleh KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital awam di seluruh negara untuk merawat kes Covid-19.

“Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta lagi kepada KKM bagi tujuan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan ke hospital swasta dengan memberikan keutamaan kepada kes di Lembah Klang.

“Berikutan peningkatan kes pada masa kini, KKM memohon peruntukan tambahan RM100 juta lagi bagi penyumberluaran untuk meningkatkan kapasiti,” katanya pada sesi yang sama.

Dr Adham berkata, kerajaan pada tahun lalu memperuntukkan RM56 juta kepada KKM untuk penyumberluaran pesakit kepada hospital swasta bagi mengurangkan masa menunggu pesakit yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal seperti rawatan jantung dan kanser.

Jelasnya, penyumberluaran yang dilakukan secara tidak langsung membantu meningkatkan kapasiti hospital KKM bagi merawat pesakit Covid-19.

Kakitangan hospital menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here