Dr Noor Hisham ulangi amaran sistem kesihatan negara mungkin lumpuh

0
154
Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Peningkatan kes Covid-19 secara berterusan sehingga melebihi kapasiti maksimum hospital boleh menyebabkan sistem kesihatan di beberapa negeri runtuh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata,
antara negeri yang merekodkan peningkatan kes yang melebihi purata 38 kes bagi setiap 100,000 penduduk itu adalah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Labuan.

Lebih membimbangkan katanya, situasi yang sama jika berterusan boleh menyebabkan kelumpuhan sistem kesihatan negara.

Kebimbangan itu katanya timbul selepas kes yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah meningkat pada purata 2.6 peratus sejak seminggu lalu.

“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku.

“KKM khuatir dengan situasi ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat Covid-19 di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan negeri-negeri yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) supaya terus mengamalkan kepatuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Kepatuhan kepada SOP yang telah digariskan itu penting bagi memastikan situasi di negeri-negeri tersebut terus pulih dan beralih ke fasa seterusnya bagi mempercepatkan proses pemulihan sektor kesihatan, ekonomi, dan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa langkah telah diambil oleh KKM untuk mengatasi masalah lebihan kapasiti hospital antaranya penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai Hospital Penuh Covid-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh, dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Katanya, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga sedang dipertimbangkan untuk tujuan itu.

Selain itu, kapasiti katil di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) turut ditingkatkan untuk menampung pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5.

“Pesakit bukan Covid-19 dipindahkan ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisma penyumberan luar dan sedang mempertimbangkan Hospital Shah Alam sebagai hospital Covid-19,” katanya.

Katanya, KKM juga menaik taraf kegunaan katil (repurpose bed) di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19.

Pada masa yang sama kata Noor Hisham, KKM juga bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 di katil wad biasa dan di katil ICU.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here