
KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew membuka sebuah rumah transit di Titiwangsa di sini khusus untuk pesakit kanser kanak-kanak yang terpaksa berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beliau berkata, rumah transit itu disediakan secara percuma untuk pesakit yang memerlukan.
“Syukur pada Allah yang Maha Berkuasa dengan izin-Nya Rumah Kasih Umat dibuka.
“Rumah ini di Titiwangsa kami jadikan rumah transit bagi anak kanser yang berulang alik mendapatkan rawatan di HKL dan sekitar. Buat yang memerlukan boleh hubungi 011-70772380. Percuma tiada caj,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Ebit berkata, ketika arwah ayahnya terlantat sakit akibat kanser, beliau dapat melihat penderitaan yang dialami ayahnya meskipun telah diberikan pelbagai jenis ubat.
Beliau berkata, usaha yang diambilnya untuk membuka rumah tersebut adalah satu usaha yang kecil dan semoga kanak-kanak tersebut mendapat manfaat.

“Saya beberapa kali ziarah rumah kanser. Anak-anak kecil berlari sana sini sakit. Ramai yang kadang tidur dalam kereta atau sana sini sementara datang nak tunggu rawatan.
“Syukur ramai orang lain dah mulakan sama ada oleh kerajaan ataupun persendirian.
“Ini semua usaha kecil kita nak jadi sabahagian kecil dari usaha kerajaan dan orang ramai. Terima kasih semua yang selama ini bersama usaha ini. Semoga setiap anak kanser yang tiada dosa ini menjadi asbab kasih sayang Allah pada kita,” katanya.-MT