
CYBERJAYA – Persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun lalu telah menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 165,2000 orang.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, daripada jumlah itu lebih 22,400 melibatkan graduan pemegang sijil ijazah dan lebih 14,800 pula pemegang sijil diploma.
Beliau berkata, sebahagian besar dalam kalangan mereka juga merupakan siswazah berumur 35 tahun dan ke atas.
“Kadar pengangguran siswazah pada tahun lalu naik sebanyak 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.
“Selain itu, lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang dari tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Mengulas lanjut, katanya, dalam kalangan 4.35 juta siswazah bekerja pada tahun sama, lebih daripada dua pertiga atau 68.8 peratus bekerja dalam kategori pekerjaan mahir, namun bilangannya berkurang sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, pengurangan itu melibatkan pekerjaan dalam kategori profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu.

Bagi kategori separuh mahir pula ujarnya, merekodkan peningkatan 19.3 peratus, terutamanya dalam kategori pekerja perkhidmatan dan jualan serta operator loji dan mesin serta pemasang.
“Sehubungan itu, komposisi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir meningkat kepada 28.9 peratus berbanding 25.6 peratus pada tahun sebelumnya manakala sebanyak 2.3 peratus siswazah bekerja adalah dalam kategori pekerjaan berkemahiran rendah,” katanya.
Menyentuh lebih lanjut katanya, siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.
Katanya, ini memandangkan mereka bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan mereka.
Sementara itu Mohd Uzir berkata, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan siswazah meningkat kepada 31.2 peratus berbanding 26.7 peratus pada 2019 dengan merekodkan seramai 1.36 juta orang.-MT