
LISBON – Agensi Perubatan Eropah (EMA) sedang meneliti maklumat berkaitan kewujudan komplikasi saraf dalam kalangan penerima vaksin Covid-19 keluaran Johnson & Johnson (J&J).
The Guardian melaporkan, sindrom Guillain-Barre (GBS) amat jarang ditemukan, jadi tindakan EMA adalah bagi memastikan jika vaksin J&J berupaya mencetuskan komplikasi tersebut.
“EMA pada waktu ini sedang menyiasat laporan kewujudan GBS dalam kalangan penerima vaksin J&J.
“Kami sudah menghubungi pihak pengeluar vaksin bagi mendapatkan maklumat tambahan.” kata EMA dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, pihak Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (US FDA) telah menyertakan amaran tersebut pada lampiran produk vaksin J&J semalam.
Amaran tersebut antara lain menyebut, sudah terdapat 100 laporan kes GBS dalam kalangan penerima, yang mana 95 kes memerlukan hospitalisasi, dan 1 laporan kematian.
GBS merupakan satu komplikasi yang amat jarang berlaku, di mana sistem imun badan menyerang lapisan perlindungan sistem saraf.