CYBERJAYA – Enam pemain badminton negara yang pulang dari Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol disahkan positif Covid-19.
Menurut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan, kesemua pemain yang tiba ke negara ini pada 21 Jun lalu itu kini sedang menjalani kuarantin
wajib seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selepas mendapati ujian yang dikenakan ke atas mereka positif, kesemua mereka dihantar ke pusat kuarantin dan tidak mengalami sebarang gejala.
“Kesemua pemain berkenaan tidak berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan tidak berhubung dengan pemain yang sedang mempersiapkan diri untuk Olimpik Tokyo,” menurut BAM semalam.
Sebagai langkah pencegahan, kesemua pemain berkenaan tidak akan kembali ke ABM sehingga semua pemain Olimpik berlepas ke Tokyo untuk temasya sukan itu.
Skuad badminton negara dijadualkan berlepas ke Tokyo pada 17 Julai ini dan memasuki Perkampungan Sukan Olimpik pada hari berikutnya serta memulakan latihan sebelum pertandingan bermula 24 Julai.