Euro 2020: Itali mara ke perlawanan akhir

0
137
Chiesa meraikan gol jaringannya ketika menentang Sepanyol, sebentar tadi.

LONDON – Itali menjadi pasukan pertama layak ke perlawanan akhir Kejohanan Euro 2020 apabila berjaya menewaskan Sepanyol 4-2 menerusi sepakan penalti, sebentar tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Wembley itu tadi, pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti apabila perlawanan masa sebenar dan waktu tambahan tamat dengan keputusan 1-1.

Pemain Sepanyol, Morata (jersi putih) menjaringkan gol pasukannya ketika menentang Itali, sebentar tadi.

Perlawanan pada separuh masa pertama berlangsung sengit namun Sepanyol lebih banyak menguasai permainan dengan pasukan Itali lebih banyak bertahan.

Pada separuh masa kedua, perlawanan dilihat semakin seimbang, namun Itali terlebih dahulu berjaya memecah kebuntuan apabila Chiesa bijak menyambar peluang bagi menjaringkan gol pada minit ke-60.

Ketika masa sebenar permainan masih berbaki 10 minit, Sepanyol berjaya mendapatkan gol penyamaan hasil jaringan Morata.

Kedudukan terikat 1-1 sehingga wisel penamat ditiupkan, memaksa pemenang perlawanan ditentukan pada waktu tambahan.

Perlawanan pada waktu tambahan berlangsung dengan Sepanyol lebih banyak menguasai bola, namun, Itali yang terkenal dengan permainan bertahan, berjaya menyerap segala asakan yang dilancarkan pasukan lawan.

Berakhir tanpa jaringan, bermakna permainan terpaksa diheret ke pusingan sepakan penalti.

Walaupun Manuel Locatelli gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama Itali, Jorginho berjaya melengkapkan kemenangan apabila sepakan penaltinya berjaya mengelirukan penjaga gol Sepanyol Unai Simon bagi gol kemenangan Itali.

Terdahulu, dua sepakan penalti Sepanyol oleh Dani Olmo dan Morata gagal menembusi penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.

Pada perlawanan akhir juga di Stadium Wembley pada 12 Julai nanti, Itali akan bertemu dengan pemenang perlawanan di antara England dan Denmark yang akan berlangsung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here