Fahami keperluan di Gaza dahulu

0
267
Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman

CYBERJAYA – Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membuat sumbangan di bumi Gaza bukan sahaja perlu meneliti keperluaan penduduk bahkan perlu memahami budaya setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan sesuatu bantuan yang ingin disalurkan tidak begitu efektif bahkan merugikan.

Beliau berkata, sebagai wakil NGO yang sudah bertahun-tahun bertapak di Gaza, beliau sering menasihatkan NGO-NGO yang bekerjasama dengan CGM supaya membuat perancangan dan memahami dengan teliti keperluan penduduk di bumi yang bergolak itu.

“Memang betul niat kita datang untuk membantu tetapi tidak salah jika kita berusaha untuk memberikan bantuan dengan kesan yang lebih berimpak.

“Kerana di Gaza ini kita tidak dapat tidak perlu berhubung dan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan NGO-NGO lain, di situ perlunya kordinasi dan kefahaman,” katanya pada Sesi Townhall Cinta Gaza Malaysia – Nadir Al-Nuri hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan nitizen yang menuduh beliau seolah-olah mahu berlagak sebagai ‘tuan rumah’ kepada NGO lain di bumi Gaza sehingga mencetuskan perbalahan dengan pendakwah Ebit Liew.

Sedangkan katanya, beliau sentiasa terbuka untuk menerima atau memberi panduan kepada sesiapa sahaja yang terlibat menyalurkan bantuan ke Gaza untuk memastikan bantuan dapat ‘menepati dan memuaskan’ golongan penerima.

Mengulas lanjut, beliau memberikan contoh pembelian barang-barang bantuan oleh Ebit Liew yang sepatutnya boleh dilakukan di Gaza bagi mengelak masalah penghantaran dan logistik.

“Bila kita bekerja di tempat yang berlaku peperangan kita nak bagi bantuan dalam keadaan yang paling berkesan, kos yang paling jimat, dan sampai tepat pada masanya.

“Ada satu kes di mana NGO-NG) dari negara jiran menghantar banyak bekalan beras yang akhirnya rosak kerana mengambil masa berbulan-bulan untuk sampai ke Gaza.

“Jadi apa manfaatnya jika bantuan itu sampai lewat daripada masa ia diperlukan. Di sinilah perlunya koordinasi dan perancangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here