
KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta untuk jelaskan sama ada pembatalan Ordinan Darurat mengikut ‘Due Process of Law’ atau sebaliknya.
Permintaan berkenaan dibuat bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.
“Kerajaan telah bersetuju untuk membatalkan enam Ordinan Darurat, maka saya ada tiga persoalan utama yang perlu dijawab segera.
“Persoalan pertama, sama ada Due Process of Law telah diamalkan dalam erti kata lain apa jua pembatalan Ordinan Darurat mesti mendapat limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan digazetkan, ini tidak dijelaskan,” katanya.
Menurut Najib, proses pembatalan Ordinan Darurat sekiranya mengikut Due Process of Law akan dimulakan dengan Kabinet menasihati Agong sebelum diperkenan dan digazetkan.
“Proses tersebut barulah lengkap mengikut proses undang-undang.
“Pada zaman saya, undang-undang darurat kita buat ikut proses, perlu dibentangkan di kedua-dua dewan,” jelasnya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Takiyuddin berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
Takiyuddin berkata, kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu.