
RAUB – Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub (GPMIR) menyokong penuh tindakan tegas kerajaan negeri Pahang yang menguatkuasakan undang-undang ke atas penerokaan tanah secara haram untuk penanaman musang king di Tras di sini.
Penyelaras Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata, adalah tidak wajar tindakan undang-undang yang diambil itu dijadikan modal politik oleh mereka yang berkepentingan.
“Kami berdiri teguh di belakang Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan negeri yang tidak berganjak seinci pun dengan keputusan demi manfaat rakyat dan negeri Pahang meskipun diasak oleh kelompok tertentu yang cuba mempolitikkan isu ini.
“Sehubungan itu, kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemimpin DAP yang bertindak memutar-belit isu ini. Ini bukan isu politik. Ini adalah soal undang-undang yang harus ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Fadzli turut mempersoalkan tindakan DAP yang menyokong aktiviti penerokaan tanah secara haram terutama di kawasan Hutan Simpan Kekal yang berkeluasan hampir 250 ekar itu
“Kenapa DAP menyokong aktiviti yang menyalahi undang-undang yang pada masa sama jelas memberi kesan buruk kepada ekosistem hutan untuk jangka masa panjang?
“Dulu DAP cuba menjadi hero di Sungai Ichat, Cameron Highlands dalam kes penerokaan tanah secara haram untuk aktiviti pertanian.
“Kini berulang pula di Raub. Jangan hanya fikir untuk kepentingan undi semata-mata. Fikirlah soal kepentingan rakyat dan negeri secara keseluruhannya,” ujarnya.
Sementara itu, Fadzli berkata, pihaknya turut menggesa pelaku-pelaku yang menghina dan menghalang tugas penjawat awam dikenakan tindakan tegas di sisi undang-undang.-MT