
IPOH – Orang ramai dikejutkan dengan kehadiran sebuah helikopter yang secara tiba-tiba membuat pendaratan di Padang Ipoh, pagi tadi.
Rupanya, helikopter milik syarikat swasta itu mendarat bagi mengambil pesanan 36 bungkus ‘nasi ganja’ yang amat popular di bandar raya itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan sebuah helikopter dikesan berada di Padang Ipoh pada jam 9.55 pagi hingga 10.15 pagi.
“Setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh,” katanya kepada Utusan, hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya sudah salurkan maklumat tersebut kepada pihak CAAM untuk siasatan lanjut.