
CYBERJAYA – Tindakan penceroboh Hutan Simpan Batu Talam, Raub, Pahang memusnahkan jambatan-jambatan yang ada di sekitar kawasan itu bagi melambatkan pergerakan penguatkuasa yang melakukan operasi merupakan satu tindakan yang sangat biadab.
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya percaya sikap biadab itu ditunjukkan kerana yakin ada pihak berjawatan yang akan mempertahankan mereka nanti.
“Ini adalah suatu kebiadapan yang sangat ‘luar biasa’ kerana tidak pernah lagi saya dengar ada taktik sebegini dalam berhadapan dengan penguatkuasa melainkan pada zaman komunis dahulu.
“Kebetulan pula, hutan-hutan Raub memang sarang dan kubu kuat komunis pada satu ketika dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aminuddin berkata, sokongan oleh mereka yang berjawatan terhadap penceroboh tanah haram itu dapat dilihat semalam apabila beberapa orang wakil rakyat parti pembangkang menghina penjawat awam yang menjalankan penguatkuasaan.
“Apa yang kita boleh harapkan kerana ianya sudah dapat dijangka, pemimpin ‘tunjuk taring’ biadap; maka pengikut pun pasti akan turut biadap berkali-kali ganda.
“Kita juga difahamkan bahawa kira-kira tanaman durian secara haram seluas 101 hektar, atau lebih kurang 250 ekar dalam Hutan Simpan Batu Talam itu.
“Satu padang bola adalah lebih kurang 1.8 ekar, anda pandai-pandailah kira dan bayangkan besar mana pencerobohan itu berlaku.
“Kepada pihak penguatkuasa, kami rakyat Malaysia menyokong penuh akan usaha ini kerana kami yakin jika operasi ini berjaya, maka kita akan berjaya dalam operasi-operasi membanteras pencerobohan-pencerobohan lain di serata negeri Pahang, malah seluruh Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya juga mengulangi desakan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat kes pencerobohan itu.-MT