Harga murah, daging Malakat Grocer jadi rebutan

0
125
Peniaga memotong daging untuk dijual kepada orang ramai sempena persiapan menjelang hari raya Aidilfitri di Malakat Grocer, Malakat Mall.

CYBERJAYA – Orang ramai beratur seawal pukul 8 pagi di Malakat Mall di sini hari ini untuk mendapatkan bekalan daging sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengurus Bahagian Produk Segar Malakat Grocer, Mohd Wazir Mohd Dassin berkata, bekalan daging lembu yang baharu disembelih sememangnya menjadi ‘rebutan’ pelanggan di pasar raya itu terutama setiap kali musim perayaan.

“Pelanggan sudah sampai ke sini seawal pukul 8 pagi kerana untuk mengelak beratur lebih panjang pada sebelah tengahari.

“Sejak tiga hari lalu kami sudah menjual 8 ekor lembu dan untuk hari ini dan esok, kami sediakan 3 ekor lembu untuk mereka yang ‘last-minit’ shopping,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Mohd Wazir Mohd Dassin

Mohd Wazir berkata, walaupun sambutan yang tinggi sempurna musim perayaan, pihaknya masih menawarkan daging pejal pada harga RM38.90 sekilogram.

“Hanya daging batang pinang yang dijual pada harga RM52 dihadkan sekilogram seorang,” katanya.

“Selain daging, kami juga mempunyai stok ayam disembelih yang cukup untuk menampung keperluan musim perayaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir mengingatkan orang ramai waktu jualan daging biasanya berakhir pada pukul 7 malam setiap hari manakala waktu operasi Malakat Mall ditutup pada pukul 10 malam.

Mohd Hairil Hashim

Pelanggan, Mohd Hairil Hashim berkata, beliau memilih untuk membeli-belah di Malakat Grocer untuk mendapatkan harga daging yang murah berbanding di tempat lain.

“Saya selesa untuk membeli-belah di sini sebab saya tengok harga memang murah. Misalnya hari ini harga daging RM38 tapi dekat luar RM40 lebih.

“Selain daging yang segar kerana disembelih baharu setiap hari, saya selesa kerana tidak perlu berada panjang atau bersesak jika beli di tempat lain,” katanya.

Sapina Ismail

Seorang lagi pelanggan, Sapina Ismail, berkata, Malakat Grocer menjadi pilihannya untuk mendapatkan barang-barang keperluan kerana terletak tidak jauh daripada tempat kerjanya di Cyberjaya.

“Boleh katakan semuanya ada di sini untuk keperluan saya. Daripada daging, ayam, ikan, sayur dan barang-barang makanan dalam pek semuanya ada.

“Begitu juga dengan kemudahan meletak kenderaan percuma untuk dua jam pertama,” katanya.

Mengenai persiapan Hari Raya Aidiladha kali ini, Sapina berkata, beliau sudah bersedia untuk sambutan ala-kadar kerana masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hari ini saya beli 2 kilogram daging dan 2 ekor ayam untuk keperluan kami sekeluarga kerana tidak akan menerima tetamu,” katanya tersenyum.

Keselesaan membeli daging dalam suasana yang bersih dan tidak terlalu sesak di Malakat Mall. – Gambar Fail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here