HCTM nafi tidak cukup bekalan PPE

0
13
Tangkap layar perbualan dipercayai kakitangan HCTM yang tular baru-baru ini.

CYBERJAYA – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menafikan dakwaan Jabatan Perubatan Kecemasan hospital itu kekurangan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE).

“Pihak HCTM UKM dengan ini memaklumkan bahawa Hospital masih mempunyai bekalan PPE yang mencukupi dan Jabatan Perubatan Kecemasan antara Jabatan yang diberikan keutamaan untuk dibekalkan PPE memandangkan keperluan Jabatan tersebut.

“Semakan stok di Jabatan tersebut juga mendapati tiada masalah kekurangan seperti yang dihebahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas tangkap layar perbualan chat dalam aplikasi WhatApps yang dipercayai orang dalam HCTM mendakwa hospital itu kekurangan PPE dan sedang mencari orang-orang kaya untuk memberikan sumbangan dana.

“Mak ayah awak ada tak kenal orang kaya-raya. Yang boleh sponsor (taja) PPE.

“Serius sangat, kesian tengok ED (Jabatan Kecemasan) HUKM. PPE tak cukup. Staf jaga pesakit Covid-19 tak pakai PPR lengkap. Topeng N95 kena beli sendiri,” menurut petikan perbualan itu.

HCTM UKM bagaimanapun menjelaskan, pemakaian PPE dalam kalangan anggota petugas barisan hadapan adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sehubungan itu, pihak HCTM UKM menafikan ketidakcukupan PPE seperti yang didakwa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here