
CYBERJAYA – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepercayaan melantiknya selaku Menteri Kanan Luar Negeri.
Hishammuddin berkata, beliau berjanji akan menggalas tanggungjawab itu dengan sebaiknya.
“Dengan pelantikan ini, saya akan mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.
“Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik Covid-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebentar tadi turut mengumumkan pelantikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, beliau percaya, hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak, mampu mengeluarkan negara daripada krisis yang sedang berlaku bersama-sama.
“Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati.
“Saya berdoa, semoga Allah SWT meredhai ketentuan ini,” katanya.-MT