
CYBERJAYA – Hospital Sungai Buloh menafikan pihaknya mengenakan caj untuk pengurusan jenazah Covid-19 dan bukan Covid-19.
Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur berkata, Jabatan Forensik sama sekali tidak terlibat dalam mengenakan caj kepada waris si mati.
“Jabatan Forensik Hsopital Sungai Buloh hanya terlibat dalam mengendalikan urusan pengambilan jenazah dari wad sehingga tempat penyimpanan dan pengurusan jenazah Covid-19 serta bukan Covid-19 sahaja.
“Kesemua waris perlulah berurusan sendiri dengan syarikat yang dipilih oleh waris bagi pengurusan pengebumian pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan menerusi satu mesej suara dalam aplikasi WhatsApp baru-baru ini mengenai caj pengurusan jenazah pesakit Covid-19 yang mencecah hingga RM9,000.