Ibadah korban : ‘Menyembelih’ 7 sifat binatang dalam diri manusia

0
46
Badlishah Alauddin

CYBERJAYA – Ibadah korban mempunyai banyak kebaikan dan juga pengajaran kepada umat Islam khususnya dalam meningkatkan ketaqwaan diri kepada Allah S.W.T.

Kebanyakan daripada kita memahami ibadah itu sebagai memperingati pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S.

Pada diri pengamalnya, korban itu adalah jalan untuk seseorang mendekatkan diri kepada Allah dan pada Allah, ia adalah ukuran ketaqwaan seseorang hamba-Nya.

Bagaimanapun, ibadah korban dalam Islam amat jarang dikaitkan dengan satu lagi falsafah atau pengajaran yang perlu difahami iaitu untuk ‘menyembelih’ sifat haiwan yang ada dalam diri setiap manusia.

Duta Rasmi Program Kembara Qurban YBIM, Datuk Badlishah Alauddin berkata, salah satu daripada kebaikan yang difahami mereka yang mengerjakan ibadah korban adalah membuang sifat-sifat buruk yang ada dalam diri.

Katanya, sifat-sifat kebinatangan itu diceritakan Allah di dalam Al-Quran dan umat Islam sebagai hamba perlu berusaha untuk membersihkan diri daripada sifat buruk itu.

Beliau berkata demikian dalam Kuliah Kembara Qurban 2021 anjuran YBIM dan Malakat Mall yang diadakan di laman Facebook Yayasan Budi Ihsan Malaysia pagi ini.

Beliau berkata, Allah SWT menyebut 7 sifat binatang yang harus dihindari umat Islam dalam membentuk akhlak yang mulia.

1-Anjing
Menjauhi sifat anjing yang setia tidak bertempat. Mentaati ‘tuan’ tanpa mengira baik atau buruk suruhannya atau patuh kepada sesuatu kehendak secara bersebab. Di dalam analogi ini, anjing akan patuh kepada sesiapa sahaja yang memberinya makanan.

2-Haiwan ternakan
Tidak menjadi seperti haiwan ternakan yang hanya dinilai pada bentuk fizikalnya, berat atau grednya semata-mata tanpa mempunyai apa-apa nilai keistimewaan yang lain.

3-Beruk atau kera
Menjauhi sifat serakah monyet yang sering melakukan kerosakan dan tidak menghormati sesiapa sahaja di sekelilingnya.

4- Babi
Kehinaan sifat haiwan ini yang tidak mempedulikan keburukan dan selesa berada dalam persekitaran yang kotor.

5- Labah-labah
Haiwan ini digambarkan sebagai makhluk yang kurang pergantungan kepada Allah dengan membina kediaman untuk melindungi diri daripada lawan. Analoginya adalah manusia yang melengkapkan diri dengan persenjataan, benteng, jampi serapah atau sentiasa berpegang kepada kuasa, pangkat, ubat-ubatan tanpa menyerah pada qada’ dan qadar Allah.

6- Nyamuk
Haiwan yang tidak senang hidupnya tanpa menganggu kehidupan orang lain. Menyebar penyakit dan apabila makan, sehingga berlebihan sehingga mati kekenyangan.

7- Keldai
Haiwan yang digambarkan dengan sikap kebodohan yang mengabaikan perintah dan larangan, tidak mengambil pengajaran daripada perintah dengan ilmu yang dimiliki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here