Ibu harimau ajar anak berburu punca ratusan lembu mati dibaham

0
408
Kelibat ibu harimau bersama anaknya yang berjaya dirakam oleh Perhilitan

DUNGUN – Tanda tanya kematian beberapa ekor lembu milik penternak di Felda Kerteh 4, di sini dengan terdapat banyak kesan cakaran terjawab apabila kamera infrared yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya merakam pergerakan ibu harimau bersama empat anaknya yang berusia sekitar dua tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya percaya kejadian itu dilakukan oleh harimau berkenaan dan tindakan harimau itu semata-mata untuk mengajar anak-anaknya memburu.

Menurutnya, sebahagian besar lembu yang ditemui mati terdapat banyak kesan cakaran di kepala, badan dan belakang tetapi tidak dimakan.

Keadaan lembu yang mati dengan kesan cakaran di leher

“Kamera infrared yang dipasang Perhilitan merakam ibu harimau bersama empat anaknya yang berusia sekitar dua tahun.

“Berdasarkan rakaman itu, kita percaya ibu harimau itu hanya mengajar memburu kepada anak-anaknya dan setakat ini tiada laporan haiwan itu menyerang peneroka. Kita percaya lembu yang diternak secara integrasi dalam ladang menarik kunjungan pak belang ke kawasan itu,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, berdasarkan pemantauan kawasan ternakan itu yang terletak berdekatan dengan hutan mempunyai berbelas ekor harimau di hutan itu.

Dalam pada itu, katanya, kesan daripada serangan harimau itu menyebabkan penternak mengalami kerugian yang besar.

“Saya bersama Perhilitan serta beberapa agensi kerajaan lain sudah mengadakan perjumpaan dengan penternak bagi mencari tindakan penyelesaian. Unit khas Perhilitan sudah mengambil langkah memantau kawasan ternakan 24 jam termasuk memasang kamera dan perangkap, “katanya.

Dr Azman berkata, hasil pertemuan dengan penternak terbabit, pihaknya mengambil keputusan mengehadkan kemasukan penduduk ke kawasan itu.

“Masyarakat luar juga dinasihatkan supaya tidak pergi berkelah ke kawasan air terjun yang terletak berhampiran dengan kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap semua penternak dapat mengurung ternakan sebelum waktu senja.

“Kerajaan negeri juga bersetuju membantu penternak yang kerugian melalui Tabung Bencana Pertanian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here