
JAKARTA – Indonesia akan memulakan perkhidmatan teleperubatan percuma buat pesakit Covid-19 dengan gejala ringan mulai esok.
Langkah ini merupakan satu inisiatif bagi mengurangkan tekanan terhadap sektor kesihatannya yang makin terbeban dengan pertambahan kes Covid-19.
Menurut Reuters, perkhidmatan itu membolehkan pesakit Covid-19 mendapatkan khidmat nasihat dan penghantaran ubatan secara percuma.
“Pesakit Covid-19 boleh mendapatkan perkhidmatan perubatan tanpa perlu hadir ke hospital, jadi kita boleh gunakan peluang ini untuk memfokuskan perkhidmatan kepada pesakit dengan gejala yang lebih lebih berat dan parah,” kata Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin dalam satu sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, perkhidmatan itu akan diselia oleh firma teleperubatan seperti Alodokter dan Halodoc.
Menurut data Kementerian Kesihatan Indonesia, jumlah penggunaan katil hospital di negara itu sudah mencecah 75 peratus setakat 2 Julai, namun beberapa hospital di Pulau Jawa melaporkan, kadar penggunaan sudah melebihi 90 peratus di beberapa buah hospital utama.