
CYBERJAYA – Inisiatif pemberian vaksin secara walk-in di Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Ogos ini adalah dikhususkan bagi golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu selepas tarikh tersebut.
Kata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan hari ini, antara golongan yang belum mendapat janji temu ini adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan.
“Bagi individu di Selangor dan Kuala Lumpur yang telah mendaftar sebelum ini, akan diberikan janji temu dalam masa terdekat.
“(Bagi) Individu yang masih belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin,” kata kenyataan itu lagi.
CITF turut memaklumkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan beroperasi bagi tujuan walk-in pada bulan Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak.
“(Untuk makluman) PPV yang ada sekarang tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif walk-in ini,” kata CITF.
Orang ramai yang telah menerima tarikh janji temu diseru supaya menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan.