
TEL AVIV – Israel akan memulakan pemberian dos ketiga vaksin Pfizer kepada golongan dewasa yang mempunyai sistem imun yang rendah.
Kata Reuters, pemberian itu setakat ini hanya terhad bagi golongan tersebut dan tidak meliputi populasi golongan dewasa lain.
Langkah ini diambil bagi membendung penularan varian Delta yang mana menyebabkan kadar jangkitan harian di Israel meningkat daripada hanya satu digit pada bulan lepas kepada tiga digit sejak kebelakangan ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Nitzan Horowitz, golongan dengan imun rendah hanya perlu hadir di pusat pemberian vaksin bagi mendapatkan dos ketiga itu.
Kira-kira dua minggu lalu, laporan Israel mendedahkan vaksin Pfizer hanya 64 peratus berkesan dalam melindungi penerimanya daripada jangkitan varian Delta, berbanding 94 peratus pada bulan Mei sebelum varian itu mula mmenular.
Setakat ini, 5.19 juta penduduk Israel telah menerima dua dos vaksin Pfizer, iaitu kira-kira 60 peratus daripada penduduknya yang berjumlah 9.3 juta.