Itali juara Euro 2020

0
181
Pemain pertahanan Itali, Leo Bonucci (kiri) dan pemain England, Harry kane sedang bersaing untuk cuba mendapatkan bola dalam perlawanan akhir Kejuaran Eropah 2020 di Stadium Wembley, sebentar tadi.

LONDON – Hasrat England untuk menjuarai kejohanan antarabangsa pertama sejak tahun 1966 berkecai apabila tewas kepada Itali dalam perlawanan akhir Kejohanan Euro 2020, sebentar tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Wembley itu tadi, Itali menang 3-2 menerusi sepakan penalti, apabila perlawanan masa sebenar dan waktu tambahan berakhir dengan kedudukan 1-1.

Sekali lagi, sepakan penalti menghantui England apabila tiga pemainnya, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal menyumbat penalti.

Bagi Itali, ini merupakan kejuaraan Eropah kali kedua dimenangi dalam 10 kali penyertaan. Kali terakhir Itali menjulang trofi Henri Delaunay adalah pada tahun 1968.

England terlebih dahulu mengejutkan pihak lawan apabila Luke Shaw berjaya menjaringkan gol pada minit ke-3 perlawanan.

Luke Shaw (jersi no. 3) ketika menjaringkan gol pembukaan permainan.

Untuk rekod, jaringan tersebut merupakan gol paling pantas dijaringkan dalam perlawanan akhir Kejohanan Eropah sejak ia diadakan.

Ketinggalan 0-1, Itali cuba mencari gol penyamaan namun kelebihan memihak kepada England yang berjaya mengawal permainan sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula dengan pasukan Itali berterusan cuba mencorakkan serangan.

Hasilnya, pada minit ke-67, Leonardo Bonucci berjaya menyamakan kedudukan sekaligus mengikat keputusan jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan.

Bonucci (jersi 19) meraikan gol jaringannya di hadapan penyokong Itali di Stadium Wembley, sebentar tadi.

Bersambung di masa tambahan, England yang memburu kejuaraan pertama antarabangsanya dalam masa 55 tahun, kelihatan lebih bertenaga untuk mencari gol kemenangan, namun barisan pertahanan Itali berjaya menangkis segala serangan yang dilancarkan.

Keputusan berakhir tanpa jaringan tambahan bermakna pemenang kejuaraan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

kali terakhir kejuaraan ini ditentukan menerusi sepakan penalti adalah pada tahun 1976 ketika Yugoslavia menjadi tuan rumah, dengan Czechoslovakia menewaskan Jerman Barat 5-3, apabila perlawanan sebenar tamat dengan keputusan 2-2.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here