
NEW DELHI – India mencatatkan lebih daripada 4,300 kematian akibat wabak ‘kulat hitam’ yang mana jangkitan dilaporkan semakin meluas dalam kalangan pesakit Covid-19.
Menteri Kesihatan India, Mansukh Mandaviya berkata, setakat ini, sebanyak 45,374 kes jangkitan wabak maut yang dipanggil mucormycosis itu dilaporkan di negara itu.
Menurut data perubatan, jangkitan kulat hitam yang biasanya dihidapi dalam tempoh 12 hingga 18 hari pemulihan Covid-19 menyerangkan bahagian hidung, mata dan juga otak.
Katanya, hampir separuh daripada pesakit yang dijangkiti wabak itu masih lagi belum sembuh dan perlu mendapatkan rawatan.
Pakar-pakar perubatan di negara itu melaporkan jangkitan kulat berkenaan mempunyai kaitan dengan penggunaan steroid yang digunakan untuk merawat Covid-19.
“Steroid digunakan untuk mengurangkan keradangan pada paru-paru dan membantu mengurangkan kerosakan apabila sistem imunisasi badan bekerja melawan Covid-19.
“Bagaimanapun, ia mengurangkan imuniti dan meningkatkan kadar gula darah pada pesakit yang mengidap diabetik dan juga bukan diabetik,” kata pakar seperti dipetik laporan BBC hari ini.
Menurut kenyataan pakar itu lagi, kemerosotan sistem imuniti badan bukan sahaja dipercayai menjadi pencetus penularan kulat hitam dalam kalangan pesakit Covid-1, bahkan kepada pengidap kanser dan HIV.
Buat masa ini, rawatan terbaik yang digunakan di negara itu adalah suntikan anti kulat.
Dua negeri yang paling terjejas akibat penyakit itu adalah di Maharashtra dan Gujarat yang telah mengorbankan 1,785 orang.
Pakar bedah mata di Bangalore, Dr. Raghuraj Hegde berkata, jumlah kematian akibat wabak itu sebenarnya jauh lebih tinggi kerana ada kes yang tidak dikira ekoran sifat penyakit itu yang membunuh selepas beberapa minggu menjangkiti mangsa.