
CYBERJAYA – Ahli Jemaah Menteri hari ini sebulat suara kekal memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Ahli Jemaah Menteri dalam satu kenyataan ringkas berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.
“Ahli Jemaah Menteri juga ingin memaklumkan setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak.
“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya.
Baru-baru ini, UMNO mengumumkan menarik semula sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, parti itu memberi ruang kepada ahli Parlimennya membuat keputusan sendiri ketika pengundian dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat.
Ketika ini terdapat sebanyak 16 ahli UMNO yang memegang jawatan sebagai menteri atau timbalan menteri.-MT