Jemaah solat Aidiladha di luar surau direman

0
103
Sebahagian daripada 49 orang yang ditahan atas pelanggaran SOP Covid-19 di Surau Taman Pelangi, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Polis menahan 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa solat sunat Aidiladha di pekarangan Surau Taman Pelangi, Juru, di sini semalam.

Perintah reman ke atas warga asing berusia 20 hingga 43 tahun itu bermula hari ini sehingga Sabtu ini manakala suspek warga tempatan berusia 64 tahun direman sehingga Jumaat.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Hasliza Razak, memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu, kesemua suspek dibawa dengan menaiki tiga buah trak polis tiba di pekarangan mahkamah berkenaan kira-kira pukul 10.10 pagi.

Semalam tular dalam media sosial rakaman video orang awam yang memaparkan ratusan individu yang didakwa warga asing sedang menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan pangsapuri di Taman Pelangi, Juru di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.

Mereka bertindak demikian selepas surau di taman berkenaan sudah mencapai kapasiti jemaah dibenarkan untuk solat Aidiladha iaitu seramai 100 orang seperti ditetapkan menerusi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ekoran kejadian itu, polis kemudiannya mengesan kira-kira 200 individu terlibat yang majoritinya warga asing dengan sebahagiannya ditahan semalam.

Ekoran kejadian itu juga, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi jaminan tindakan tegas dan tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu didapati terlibat dalam kejadian berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here