
TOKYO – Perenang wanita negara, Phee Jinq En gagal melangkah ke pusingan berikutnya dalam acara 100 meter (m) kuak dada pada aksi saringan kedua pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebentar tadi meskipun berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya
Dalam aksi tersebut, Jinq En, 23, menamatkan aksi saringan yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo di tempat kedua dengan masa 1 minit 08.40 saat (s).
Bagaimanapun, catatan itu masih belum cukup untuk membolehkan dia yang berpangkalan di Amerika Syarikat sejak lima tahun lalu melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
Jinq En terpaksa berpuas hati apabila menduduki tangga ke-29 keseluruhan daripada 49 perenang yang bertanding.
Hanya 15 perenang terbaik layak ke peringkat separuh akhir.
Jinq En yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA empat kali mempunyai satu lagi acara iaitu 200m kuak dada dan dijadual turun beraksi, Rabu ini.