
CYBERJAYA – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melaporkan penggunaan katil di wad Covid-19 telah mencecah 90 peratus.
Menurut portal Astro Awani, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hopital itu juga telah mencecah tahap maksimum iaitu 32 katil.
“Kita tidak boleh buka lebih banyak katil sebab kita tidak ada tenaga kerja yang cukup apabila katil-katil tersebut dibuka.
“Tenaga kerja yang saya maksudkan adalah doktor merangkumi doktor pakar dan pegawai perubatan untuk menjalankan perkhidmatan.
“Selain itu, tenaga kerja jururawat juga adalah agak kritikal kerana kalau kita nak buka katil tapi tak ada jururawat, siapa nak jaga pesakit kita?” kata Pengarah PPUM, Profesor Dr. Nazirah Hasnan.
Mengenai usaha jangka masa pendek dalam menangani kes-kes harian Covid-19 yang meningkat setiap hari, Dr. Nazirah berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan hospital swasta lain untuk memindahkan pesakit bukan Covid-19.