
CYBERJAYA – Jumlah pemberian vaksin dalam negara mencatat angka melebihi 400,000 dos selama dua hari berturut-turut iaitu 424,541 pada semalam dan 421,479 kelmarin.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi hantaran di Twitternya hari ini berkata, jumlah keseluruhan pemberian vaksin Covid-19 di negara ini sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan pada 24 Februari lepas adalah sebanyak 12,212,730 dos.
“Jumlah vaksinasi semalam melibatkan 260,286 dos kepada penerima pertama manakala 164,255 dos kepada penerima dos kedua.
“Manakala sehingga 13 Julai, jumlah yang terima dos pertama ialah 8,364,354 orang dan 3,848,376 orang telah terima dos kedua,” katanya.
Dr Adham berkata, berdasarkan rekod terkini katanya, Sarawak menjadi negeri tertinggi pemberian vaksin dos kedua iaitu sebanyak 52,551 dos diikuti Selangor (25,696), Kuala Lumpur (23,707), Sabah (9,864), Pulau Pinang (7,195), Pahang (7,038).
